 |
Komputer |
Dunia sekarang dipenuhi dengan teknologi moden yang dahulunya tidak terjangkau oleh manusia. Kemajuan yang dikecapi ini adalah satu faktor yang membolehkan orang ramai hidup dalam keadaan yang lebih mudah berbanding zaman dahulu. Kita sepatutnya bersyukur dengan kemudahan dan menggunakannya dengan sebaik mungkin dan tidak sewenang-wenangnya teknologi ini disalahertikan. Pada era globalisasi ini, kita dituntut untuk memahami dan mengerti ilmu teknologi seperti aplikasi komputer khususnya internet. Ianya memberi impak yang sangat besar dari segi kehidupan dan kerja seharian kerana penggunaan yang efisyen membolehkan kerja dilakukan dengan cekap dan pantas.
.jpg) |
Logo Facebook |
Kewartawanan dalam talian adalah satu cabang daripada gerbang informasi yang membolehkan orang ramai mengakses berita atau maklumat dalam jangka waktu yang singkat. Seiring dengan kemajuan ini, wujudnya berita secara atas talian, blog, laman sesawang yang membolehkan kita mencari maklumat serta laman sosial seperti Facebook, MySpace, Twitter dan sebagainya yang memberi kita peluang untuk menambah kenalan. Memang diakui bahawa teknologi internet ini memberi satu kesan besar dalam kehidupan orang ramai tetapi dewasa ini, kredibilitinya diragui. Kredibiliti di sini bermaksud keupayaan kewartawanan dalam talian itu sendiri dalam memberi maklumat yang tepat kepada orang ramai jika dibandingkan dengan akhbar arus perdana. Akhbar arus perdana terdiri daripada akhbar bukan tabloid seperti Berita Harian (BH), Utusan Malaysia (UM), The Star dan News Straits Times. Akhbar seperti ini memang diakui kewujudannya adalah untuk memberi pengetahuan tentang apa yang terjadi dalam kehidupan seharian kita tidak kira dalam negara mahupun luar negara.
 |
Logo Twitter |
Terdapat banyak faktor yang menyebabkan kredibiliti kewartawanan dalam talian ini jauh lebih rendah berbanding akhbar arus perdana. Perkara pertama yang menyebabkan hal ini terjadi adalah kerana tiada bukti yang sahih atau sumber yang boleh dipercayai apabila sesuatu bahan berita atau penulisan itu ditulis. Ini kerana sesiapa sahaja berhak mengekspresikan idea mereka dan menulis dalam talian contohnya melalui penggunaan blog yang semakin popular ketika ini. Bukan semua orang mampu menulis dengan baik dan kadangkala penulisan seseorang itu akan mudah terpengaruh dengan emosi, perasaan atau apa sahaja perkaitan yang mampu membuatkan mereka menulis tentang sesuatu hal ketika itu. Jadi, kredibiliti kewartawanan dalam talian agak rendah berbanding akhbar arus perdana. Seperti yang kita ketahui, akhbar arus perdana telah mempunyai wartawan-wartawan yang telah dilatih dengan sempurna untuk mencari dan menulis berita dengan sempurna. Wartawan mesti menulis yang sebenarnya tentang semua perkara. (Ku Seman, 2009). Hal ini menunjukkan kredibiliti akhbar arus perdana lebih berkesan daripada kewartawanan dalam talian.
 |
Berita Harian |
Selain itu, berita atau informasi yang diberikan mestilah tulus dan tepat dari segi intipatinya. Kewartawanan dalam talian membenarkan sesiapa sahaja termasuk ahli politik, golongan professional hatta orang awam sekalipun untuk menulis. Mereka bebas menulis atas dasar bukti yang dirasakan benar kerana telah dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan termaktubnya kebebasan bersuara tetapi ada batasannya. Penulis terlalu bebas menulis dan kadang kala gaya penulisan mereka itu mampu menarik minat pembaca lain terutamanya penulisan menerusi blog. Kebanyakkan mereka yang menulis blog ini tidak mempunyai latar belakang kewartawanan. Hari ini, sesiapa sahaja boleh mengeluarkan idea mereka dan memberikan pandangan yang mereka rasakan tidak kena pada jiwa mereka. Menurut Adabi, 2010, ada juga yang sanggup menulis blog dengan alasan 'untuk mengirimkan seseorang ke neraka'. Semuanya menggambarkan betapa mudahnya hukuman dan hujahan yang dibuat oleh seseorang penulis tanpa pertimbangan undang-undang, moral, etika kewartawanan dan perasaan kemanusiaan. Lebih fatal lagi, mereka menjadikan blog sebagai medan meluahkan perasaan, sekali gus sebagai pendakwa dan hakim yang memutuskan kesalahan orang lain. Keadaan ini menggambarkan betapa blog yang dianggap antara media baru paling laris di seluruh dunia, masih muda kualiti kewartawanannya.
 |
Utusan Malaysia |
Orang ramai akan mudah menerima berita yang mereka rasakan sensasi daripada perkhabaran yang sebetulnya. Hal ini kerana, tiada pengampang ataupun dipanggil sebagai gatekeeper. Semua berita yang dirasakan mampu menarik minat pembaca akan dimasukkan. Jika dilihat kembali pada kebanyakkan kandungan kewartawanan dalam talian, tidak dinafikan ianya lebih menjurus kepada isu gosip dan berita hangat. Contohnya, laman web Oh Artis tertumpu kepada hal-hal berkaitan kehidupan artis dan kadangkala sehingga menyentuh isu luaran dan dalaman seseorang artis tersebut. Memang sifat seorang artis adalah menjadi public figure tetapi tidaklah sampai mengaibkan mereka. Hal-hal sebegini mampu menimbulkan fitnah dan khabar angin yang secara lahiriahnya menjadikan kredibiliti kewartawanan dalam talian itu tidak begitu tepat dan kurang kredibilitinya. Akhbar arus perdana seperti yang diketahui mempunyai editor yang berfungsi sebagai orang yang bertanggungjawab menapis atau memilih berita mana yang sesuai untuk disiarkan jadi isi kandungan akhbar arus perdana lebih jitu dan benar dalam istilah kewartawanan.
Tidak dinafikan pengaruh kewartawanan dalam talian pada masa kini lebih kuat berbanding akhbar arus perdana tetapi harus diingat kredibiliti sesuatu bahan itu disampaikan adalah lebih penting. Akhbar arus perdana juga mempunyai bahagian atau ruangan berkenaan hiburan contohnya Mega (Utusan Malaysia) dan Bintang Popular (Berita Harian) tetapi berita yang disampaikan adalah lebih telus. Kredibiliti akhbar arus perdana masih tiada tandingan kerana perlu diingat, kewartawanan dalam talian memerlukan pembaca mempunyai kemudahan internet. Tidak semua orang mempunyai kemudahan itu berbanding akhbar arus perdana yang boleh didapati di kedai. Tambahan pula, berapa ramai pembaca yang mampu menghadap skrin komputer untuk jangka waktu yang lama. Berbanding akhbar arus perdana yang boleh berulang kali dibaca dan dilipat ianya nampak lebih mudah dan memberikan keselesaan kepada pembaca. Tampak nyata, kredibiliti akhbar arus perdana masih tinggi berbanding kewartawanan dalam talian.
 |
The Star |
Justeru itu, pembaca perlu memilih bahan bacaan yang tepat untuk dipercayai kerana kadang kala perkara sebegitu memberi impak yang besar dalam mempengaruhi kehidupan seseorang. Kewartawanan dalam talian sebenarnya masih baru di negara kita tambahan pula kini terdapat pengaruh-pengaruh luar yang menjadikan kewartawanan dalam talian sebagai tempat meluahkan perasaan sehingga menjadikan penulisan mereka berbaur fitnah, kecaman dan menyentuh isu-isu yang tidak sepatutnya. Setiap pihak yang terlibat seharusnya mematuhi etika-etika yang diperlukan ketika menulis dalam talian. Sebenarnya, akhbar arus perdana dan kewartawanan dalam talian mempunyai satu misi yang sama iaitu memberikan informasi kepada pembaca tetapi apa yang penting terpulang kepada pembaca itu sendiri untuk memilih bahan bacaan mana yang dirasakan benar dan telus dalam penyampaian isinya.
No comments:
Post a Comment